Corak ular karang Dunia Baru Ular_karang

Ular karang paling dikenali dengan jalur-jaluran yang berwarna merah, kuning/putih dan hitamnya. Corak yang serupa terdapat pada spesies ular tak berbisa seperti yang tergolong dalam genus Cemophora, Lampropeltis, dan Chionactis. Di Amerika Utara, ada satu petua untuk membezakan sesetengah jenis ular karang yang berbisa dengan mimik-mimiknya yang tidak berbisa, iaitu jalur merah berapit kuning bererti berbisa, manakala jalur merah berapit hitam selamat.(Bahasa Inggeris: Red into black, venom lack; red into yellow, kill a fellow dsb.) Bagaimanapun, petua ini hanya berguna pada ular karang yang berasal dari Amerika Utara, iaitu Micrurus fulvius (ular karang Timur), Micrurus tener (Ular karang Texas), dan Micruroides euryxanthus (Ular karang Arizona), yang ditemui di selatan dan barat Amerika Syarikat. Ular karang yang berasal dari tempat lain pula mungkin berbeza coraknya, berjalur merah berapit hitam, berjalur merah jambu dan biru, ataupun langsung tidak berjalur.